Agak lama juga saya tidak menulis
berkaitan politik. Malam ini saya ingin menulis dan menyentuh sedikit isu
terbaru yang mungkin tidak begitu dihangatkan oleh media, penganalisis politik
mahu pun pengamal politik dari kedua-dua belah pihak (parti pemerintah dan
parti pembangkang).
Isu yang saya maksudkan ialah
mengenai cadangan pengisytiharan harta menteri kabinet termasuk ahli keluarga
terdekat untuk disimpan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).
Rentetan isu ini bermula daripada
inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mengarahkan semua exco mengisytiharkan
harta mereka bagi menentukan ketelusan, akauntabiliti dan integriti ahlinya
pada 12hb Jan kelmarin.
Berikutan itu, Ketua Hakim Negara Tan
Sri Arifin Zakaria berkata bahawa mungkin semua hakim perlu juga mengisytiharkan
harta mereka tidak lama lagi bagi menentukan ketelusan dan integriti jabatan
kehakiman semasa ucapannya merasmikan persidangan empat hari hakim-hakim di
Putrajaya baru-baru ini.
Cadangan Ketua Hakim Negara itu
disambut baik pelbagai pertubuhan NGO yang juga mahukan pengisytiharan harta
ini diperluaskan kepada menteri-menteri kabinet dan ahli keluarga terdekat
dengan kerjasama SPRM. Ketika ini menteri kabinet hanya dikehendaki
mengisytiharkan harta mereka dengan memaklumkan kepada Perdana Menteri sahaja
dan bukan secara umum.
Di sini ada dua komen yang saya petik
dari keratan akhbar Harian Metro bertarikh 20hb Jan, 2012.
Pertama komen dari Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Menurutnya.
 |
| Keratan akhbar Harian Metro 20hb Jan, 2012 |
“Secara peribadi saya rasa kami perlu
mengisytiharkan aset kepada Perdana Menteri saja. Kalau nak isytiharkan aset
kepada SPRM, kena ada laporan mereka terbabit dengan rasuah”.
“Jadi saya rasa tak perlu menteri atau ahli pentadbiran
mengisytiharkan aset kepada SPRM kecuali ada laporan kepada SPRM”
Beliau juga berkata,
“Kita semua tahu ada perkara dianggap sebagai butiran
peribadi yang perlu dipelihara. Malah, ada akta menjaga keperibadian yang tidak
boleh diberikan begitu sahaja”.
Komen kedua adalah dari Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob. Beliau berkata,
 |
| Keratan akhbar Harian Metro 20hb Jan, 2012 |
“Saya tak ada masalah dan saya sokong”.
“Justeru, saya menyambut baik dan menyokong sepenuhnya
cadangan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) supaya anggota kabinet dan
Ahli Parlimen Barisan Nasional wajib mengisytiharkan semua harta mereka
termasuk ahli keluarga mereka kepada Perdana Menteri”.
“Kita tidak ada masalah kerana dalam borang pengisytiharan
itu kita memang wajib menulis harta dimiliki. Cadangan ini dapat memastikan
kerajaan bersih daripada amalan rasuah serta memperlihatkan kerajaan telus dan
terbuka terhadap isu rasuah”.
Sebelum itu, LPPR mencadangkan supaya
kerajaan mewajibkan semua anggota kabinet dan ahli keluarga terdekat termasuk
anak dan pasangan masing-masing menyerahkan salinan dokumen pengisytiharan
harta kepada SPRM bagi meningkatkan integriti kerajaan.
Secara peribadi saya berpandangan
bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
tidak ‘gentleman’ kerana mempertikaikan cadangan LPPR agar semua menteri
termasuk ahli keluarga terdekat mengisytiharkan harta dan diserahkan dokumen
berkaitan kepada SPRM.
Apa yang perlu ditakutkan sekiranya
harta yang diperolehi benar-benar datang dari sumber yang halal dan bersih. Apa
yang perlu dikhuatirkan kalau wang di dalam simpanan bukan hasil dari amalan
rasuah. Apa yang perlu dibimbangi sekiranya rumah besar, kereta besar yang
didapati bukan dari pemberian tauke-tauke besar.
Mungkin alasan takut diketahui orang
ramai bahawa mereka memiliki harta yang banyak justeru, bimbang terhadap
penjenayah adalah alasan yang tidak kukuh. Kita ketahui bahawa terdapat
ratusan, malah ribuan jutawan yang tinggal di Malaysia. Mereka masih mampu
untuk bergerak ke sana dan ke sini tanpa banyak rasa takut.
Oleh itu perhatikan pepatah orang
lama yang mengatakan bahawa ‘berani kerana benar, takut kerana salah’.
Lihat sahaja rakan sekabinetnya Datuk
Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak gusar dan bimbang. Beliau yakin terhadap
diri sendiri dan sanggup serta berani mengisytiharkan hartanya dan ahli
keluarganya. Beliau berani kerana beliau yakin dirinya ‘bersih’ dari sebarang
isu rasuah.
Apakah mengisytiharkan harta hanya
kepada pengetahuan Perdana Menteri sahaja dianggap sebagai telus?
Jawapannya saya pasti ada pada setiap
rakyat Malaysia.
Secara tidak langsung, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga
telah menjawab persoalan ini dengan membenarkan dan menyetujui supaya semua
Ahli Parlimen wajib mengisytiharkan harta mereka kepada SPRM supaya kerajaan
dapat dilihat sebagai telus dan terbuka terhadap isu rasuah.
Oleh itu apa jua transformasi yang
dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri tidaklah hanya ditujukan kepada orang
bawahan sahaja. Sebaliknya transformasi minda juga hendaklah diterap dan
digarapkan kepada pemimpin atasan jua.