“Orang
yang menawarkan (wang) kepada orang lain, (sama seperti) kalau kita panggil
ayam nak suruh ayam datang dekat, kita tabur hampas kelapa, tabur padi. Kalau
nak panggil lembu kita bubuh (bagi) jerami”, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat
Kenyataan
yang dikeluarkan oleh Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat berhubung
pemberian BR1M oleh kerajaan Barisan Nasional adalah tidak lebih daripada
perumpamaan atau bidalan yang sewajarnya dilihat secara positif. Berbanding
dengan firman Allah swt mengenai sebilangan besar manusia yang diberi hati
tetapi tidak memerhatikan, diberi mata tetapi tidak melihat (yang tersirat) dan
diberi telinga tetapi tidak mahu mendengar (perkara yang baik-baik). Mereka ini
dianggap oleh Allah swt sebagai binatang, bahkan lebih buruk dari itu.
Firman
Allah swt di dalam Al Quran, Surah Al A’raf, ayat 179
“
Dan sesungguhnya Kami telah sediakan untuk neraka, beberapa banyak dari jinn
dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu mengerti dengannya, dan
mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan mempunyai telinga
(tetapi) tidak mahu mendengar dengannya. Mereka itu seperti binatang, bahkan
mereka lebih sesat, adalah mereka itu orang-orang yang lalai”.
Walaupun
‘asbabunuzul’ ayat ini diturunkan khas kepada orang-orang kafir di zaman
Rasulullah saw yang enggan menerima Islam sebagai deen, tetapi ayat ini juga
boleh ditafsirkan secara umum bagi orang-orang Islam yang mempunyai hati nurani,
yang mempunyai mata ‘original’ dan mempunyai telinga asli tetapi tidak memanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
Di
dalam Al Quran terdapat juga beberapa perumpamaan yang mengaitkan perihal
binatang seperti seseorang yang meninggikan suara apabila berkata-kata adalah
dianggap tidak sopan dan diumpamakan seperti KHIMAR (keldai). Atau juga Allah
swt telah mensifatkan seorang musuh Allah dan Rasulullah saw yang bernama Walid
Al Mughirah sebagai binatang secara kiasan di dalam awal Surah Al Qalam.
Pada
ayat 16 surah tersebut Allah swt berfirman “Kami akan tandakan dia (Walid Al
Mughirah) atas belalainya”. Ayat ini bermaksud bahawa Allah akan memberi tanda
bahawa beliau seorang yang jahat lagi sesat dengan akan dimasyhurkan sebagai
memiliki hidung (khurtum) yakni belalai seperti gajah untuk tujuan menghina dan
merendah-rendahkan martabatnya.
Saya
berpandangan bahawa kenyataan Tok Guru Nik Aziz ini bersifat umum sebagai suatu
misalan. Bukan bersifat khusus seperti mensifatkan anggota-anggota polis yang
bertugas di dalam sesuatu perhimpunan besar oleh pihak Pakatan Rakyat sebagai
anjing. Memanggil seseorang dengan panggilan-panggilan yang buruk sesama manusia
adalah ditegah di dalam Islam.
| Acara penyampaian BR1M 2.0 di Taman Greenwood |
Terserah
kepada penerima BR1M itu sendiri untuk melihat diri mereka sendiri sama ada
sebagai haiwan atau sebagai manusia yang waras fikiran. Sekiranya penerima BR1M
itu benar-benar berfikiran bahawa mereka berhak untuk menerima sumbangan
tersebut biarpun dirasakan sedikit, maka wajarlah mereka menerimanya dengan rasa
syukur atas nikmat kurniaan Allah swt.
Tetapi,
sekiranya penerima BR1M itu merasakan bahawa pemberian dari kerajaan Barisan
Nasional itu sebagai ‘rasuah’, maka sewajarnya mereka hindari dari mengambil
pemberian tersebut bagi mengelakkan diri mereka dari terlibat atau syubhah
dengan gejala ‘rasuah’.
Allah
berfiman di dalam Al Quran Surah Ibrahim, Ayat 7,
“.....Sekiranya
kamu bersyukur (atas nikmat yang diterima) niscaya Aku akan tambah dan
sekiranya kamu kufur, (ketahuilah) bahawa azabKu amatlah pedih”,
Dan
Allah swt berfirman lagi di dalam Surah Al Hujurat, Ayat 12,
“Wahai
orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka kerana prasangka
itu adalah dosa, dan janganlah kamu cari-cari kesalahan orang lain........”
Namun
begitu, pemberian BR1M oleh kerajaan Barisan Nasional seharusnya juga dilihat
secara positif kerana biarpun jumlah RM500.00 dinilai tidak begitu besar oleh
ramai orang, tetapi ianya amat bermakna bagi mereka yang miskin yang
sangat-sangat memerlukan wang tersebut.
Kita
dari kalangan rakyat biasa sama sekali tidak tahu sama ada pemberian sumbangan
itu adalah ikhlas atau sebaliknya. Sama sekali kita juga tidak ketahui apa matlamat
tujuan mereka melaksanakan inisiatif ini biarpun
banyak kedengaran dari kalangan orang-orang Pakatan Rakyat beranggapan ia sebagai tujuan memancing undi pada pilihanraya yang akan diadakan tidak lama
lagi. Keputusan untuk mengundi pada PRU13 akan datang terletak pada diri
masing-masing.
Tepuk
kepala, gunakan fikiran.
Allahu 'alam